Datuk Lee Chong Wei (Cina Ringkas: 李宗伟; Cina Tradisional: 李宗偉; pinyin: Lǐ zōng wěi, lahir pada 21 Oktober 1982 di Bagan Serai, Perak) ialah seorang pemain badminton professional dari Malaysia yang kini menetap di Bukit Mertajam. Lee merangkul pingat perak di temasya Sukan Olimpik 2008 dan 2012 , maka menjadi rakyat Malaysia pertama yang layak ke pusingan akhir acara perseorangan lelaki, sekaligus menamatkan kemarau pingat Olimpik Malaysia sejak tahun 1996. Pencapaian ini mengurniakan gelaran Datuk kepadanya, serta sanjungan oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai wira kebangsaan.
Lee menduduki tangga teratas dalam ranking pemain badminton lelaki perseorangan selama 199 minggu berturut-turut, iaitu pada 21 Ogos 2008 hingga 14 Jun 2012. Beliau ialah pemain badminton Malaysia ketiga yang mencapai tangga teratas selepas Rashid Sidek dan Roslin Hashim (semenjak ranking rasmi dimulakan pada 1980-an), dan juga satu-satunya jaguh badminton Malaysian yang mempertahankan kedudukan teratasnya selama lebih dua minggu.
2002
Lee menghampiri gelaran juara
pertamanya dalam sesebuah kejohanan utama pada tahun 2003, apabila beliau layak
ke pusingan akhir sulungnya di Terbuka Malaysia 2003, sebelum tumpas di tangan Chen Hong dari China.
Pada tahun 2004, Lee berjaya memburu
dua kejuaraan terawalnya di Terbuka Malaysia dan Terbuka China Taipei. Lee
menyertai pasukan kebangsaan ke Sukan Olimpik 2004 di Athens. Dalam
sukan Olimpik pertamanya, Lee mengetepikan Ng Wei
dari Hong Kong
di pusingan pertama sebelum ditumpaskan lagi oleh Chen Hong di pusingan kedua.
Apapun, Lee masih terdaya merangkul dua lagi kejuaraan pada tahun 2005, iaitu
di Terbuka Malaysia dan Terbuka Denmark, di samping menggondol pingat gangsa
dalam aksi Kejohanan Dunia pertamanya
setelah kalah di pusingan separuh akhir kepada Taufik
Hidayat yang kemudian menjuarai kejohanan tersebut.
Lee kemudian merangkul tiga
kejuaraan dari enam pusingan akhirnya pada tahun 2006. Beliau menjuarai Terbuk
Switzerland, Kejohanan Badminton Asia
dan (untuk kali ketiga) Terbuka Malaysia, di samping juga mencapai peringkat
akhir Terbuka Cina Taipei, Terbuka Makau dan Terbuka Hong Kong. Lee membantu
skuad Malaysia menggondol dua
butir pingat emas di acara badminton
perseorangan lelaki dan pasukan campuran di temasya Sukan Komanwel 2006 di Melbourne pada bulan Mac. Lee mencapai kedudukan teratas sebanyak dua kali di ranking
dunia Persekutuan Badminton Dunia pada tahun
2006, lalu menyertai Kejohanan Dunia sebagai pemain pilihan
pertama, tetapi dikejutkan oleh Bao Chunlai
dari China di pusingan suku akhir dalam perlawanan yang dicemari oleh dua line
call berkontroversi yang tidak menyebelahi Lee.
Pada 3 November 2006, Lee terlibat
dalam kemalangan jalan raya dalam perjalanan ke Bukit Jalil
selepas bermakan malam, apabila kereta beliau dilanggar di belakang oleh sebuah
kenderaan yang hilanga kawalan akibat tayar bocor. Beliau dihantar ke Sunway Medical Centre
untuk dirawat dengan enam jahitan pada kecederaan kepalanya.
Musim 2007 menyaksikan Lee gagal
memasuki pusingan akhir buat kali pertama dalam Terbuka Malaysia sejak lima
tahun, bahkan juga tersingkir awal dalam lima pertandingan selepas itu sebelum
melambung kembali untuk merampas kejohanan Terbuka Indonesia, iaitu gelaran
pertamanya sejak Terbuka Malaysia 2006 setelah berpisah dari Li Mao untuk
bersatu semula dengan jurulatih Misbun Sidek. Prestasinya di separuh kedua
tahun itu cemerlang sekali, apabila merangkul tiga gelaran di Terbuka Filipina,
Terbuka Jepun dan Terbuka Perancis. Beliau juga mencapai pusingan akhir Terbuka
China dan Terbuka Hong Kong walaupun terjejas oleh kecederaan lututnya. Lee
memenangi semua perlawanan yang melibatkannya dalam Piala Sudirman pada bulan Jun, walaupun pasukan
Malaysia hanya mencapai
tempat ke-5 keseluruhan dalam pertandingan. Detik paling pahit yang dialami
oleh Lee adalah di Kejohanan Dunia,
sungguhpun diadakan di Malaysia dan prestasi yang membanggakan sepanjang
separuh kedua tahun itu, beliau kalah mengejut kepada Sony Dwi
Kuncoro dari Indonesia, sehingga beliau menyela ketua jurulatih Yap Kim Hock
sebalik sahaja menerima kekalahan dengan alasan bahawa Yap terlalu memberi
tekanan dalam persediaannya untuk menghadapi kejohanan.
2008
Lee memulakan tahun 2008 dengan
jayanya, dengan merangkul kejuaraan keempat dari Terbuka Malaysia dalam masa
lima tahun. diikuti Terbuka Singapura, Terbuka Korea (perlawanan terakhir
sebelum sukan Olimpik) Terbuka All England, Terbuka Switzerland, Kejohanan Badminton Asia, dan juga Piala Thomas di Jakarta,
Indonesia,
di mana Lee membawa pasukan Malaysia ke separuh akhir apabila beliau
menumpaskan Lin Dan untuk memastikan Malaysia mendahului 1–0 ketika melawan
juara bertahan dari China.
Namun demikian, Malaysia akhirnya kalah 2–3 kerana tumpasnya beregu pertamanya
dalam perlawanan terakhir.
Di Sukan Olimpik 2008, Lee
dikecualikan dari pusingan pertama, kemudian senang mengetepikan cabaran Ronald Susilo
di pusingan kedua, Kęstutis Navickas di pusingan ketiga, dan Sony
Dwi Kuncoro di pusingan suku akhir, sebelum bertungkus-lumus mengatasi saingan
hebat Lee Hyun-il
dari Korea Selatan sebelum dapat mara ke pusingan akhir.Bagaimanapun, Lee mudah dikalahkan oleh Lin Dan dengan mata
12–21, 8–21.Lee menerima ganjaran RM
300,000 pada 21 Ogos 2008, kerana menggondol pingat perak di Sukan Olimpik, di
samping juga RM 3,000 sebulan sebagai pencen seumur hidup mulai Ogos 2008.
Untuk pencapaian yang sama, beliau dikurniakan Darjah Setia Pangkuan Negeri
(DSPN), yang membawa gelaran Datuk oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun
Abdul Rahman Abbas pada 30 Ogos 2008.
Lee mengakhiri kejohanan Super
Series terakhirnya pada tahun 2008 di Terbuka Hong Kong dengan menarik diri
akibat kecederaan lutut, sekaligus membuka peluang kepada Marc Zwiebler
dari Jerman. Penarikan diri ini menyebabkan pihak media China mengejeknya
sebagai "pemain nombor satu dunia yang terlemah", di samping juga berspekulasi bahawa terdapat tiga faktor
yang menjejaskan prestasi Lee sejak Sukan Olimpik, iaitu tekanan pusingan akhir
Olimpik, kegerunan akan Lin Dan kerana tewas mudah di tangan Lin, dan tekanan
yang dihadapi sebagai nombor satu dunia (seperti yang digemakan oleh Misbun
Sidek).
Sungguhpun keperitan bermain di
peringkat antarabangsa, beliau menempah kemenangan ketujuhnya di pusingan akhir
Grand Prix Bandminton Kebangsaan di Kedah pada 12 Disember 2008, sekaligus
memecah sasaran enam kejuaraan berturut-turut yang ditetapkan oleh Misbun
Sidek. Lee akhirnya merangkul gelaran juara di Super Series
Masters Finals, itupun tanpa cabaran dari Lin Dan dan pemain
handalan China yang lain gara-gara dibelenggui kecederaan dan keletihan.
2009
Lee melancarkan musim 2009 season
dengan kejuaraan Terbuka Malaysia yang kelima, tetapi gagal merangkul kejuaraan
di Terbuka Korea dan Terbuka All England walaupun mara ke pusingan akhir. Namun
begitu, beliau memenangi gelaran kedua tahun itu di Terbuka Swiss dengan
menumpaskan Lin Dan dalam straight set, sekaligus menandakan kali
pertama menumpaskan pemain handalan China itu di pusingan akhir di luar negara
asalnya. Kemudian, Lee dikejutkan oleh Chen Long dari China di Terbuka India.
Beliau mendakwa kekalahannya akibat keracunan makanan dan menggesa pihak
berwajib agar memperbaiki keadaan menjelang Kejohanan Dunia. Pada
bulan Mei, Lee membantu Malaysia mencapai pusingan separuh akhir pertama mereka
sepanjang sejarah Piala Sudirman, walaupun
rekod tanpa kalah dalam kejohanan itu akhirnya dipecahkan oleh Lin Dan. Apapun,
beliau merangkul kejuaraan lagi di Terbuka Indonesia, dan Terbuka Malaysia Grand Prix Gold, biarpun gagal
mempertahankan kejuaraan Terbuka Singapura kerana
dikejutkan oleh Nguyen Tien Minh di pusingan kedua.
Pada 6 Jun 2009, Lee dikurniakan
gelaran Darjah Bakti (DB) dari YDPA Tuanku Mizan Zainal Abidin sempena
hari keputeraan rasmi baginda atas pencapaiannya di Sukan Olimpik 2008. Beliau pernah dilaporkan menjalin hubungan dengan rakan
sepasukannya Wong Mew Choo, sehingga mereka berdua
mengumumkan tamatnya hubungan mereka pada bulan September.
Pada bulan Ogos, Lee Chong Wei
menyertai Kejohanan Dunia di Hyderabad, India dengan cita-cita merangkul kejuaraannya tetapi
dihampakan oleh Sony Dwi Kuncoro di suku akhir. Setelah berehat selama sebulan,
Lee bertanding di China Masters di mana beliau tewas kepada Lin Dan di suku
akhir; diikuti kekalahan awal di pusingan kedua Terbuka Jepun di tangan Simon Santoso.
Kecederaan yang dialami pada lututnya ketika itu menyebabkan Lee kurang beraksi
sedikit sepanjang saki-baki tahun 2009. Setelah menjauhi Terbuka Denmark dan
Terbuka Perancis, Lee kembali ke arena dengan menjuarai Terbuka Hong Kong pada
15 November, tetapi selepas itu kecundang di pusingan pertama Terbuka China
tiga hari kemudian. Di World Super Series Masters Finals yang diadakan di Johor Bahru
pada 3–6 Disember, Lee Chong Wei mengharumkan lagi nama Malaysia dengan
mempertahankan kejuaraan perseorangan lelaki, diikuti kejayaan Wong Mew Choo
menjuarai perseorangan wanita. Walau
bagaimanapun, Chong Wei terpaksa melepaskan peluang beraksi di Sukan SEA yang diadakan seminggu kemudian
di Vientiane
atas arahan jurulatih demi menyembuhkan kecederaan lutut yang dialaminya itu.
2010
Datuk Lee Chong Wei memulakan tahun 2010
dengan ampuh, dengan merangkul kejuaraan Terbuka Korea, dan Terbuka Malaysia (yang keenam) berturut-turut. Ini juga
kali pertama Lee memenangi dua kejohanan Super Series berturut-turut. Pada 14
Mac, pada percubaan ketujuhmenjuarai Kejohanan All-England sepanjang kerjayanya,
Lee akhirnya berjaya merangkul gelaran juara perseorangan lelaki di perlawanan
berprestij itu di Birmingham, dengan menangkis saingan Kenichi Tago dari Jepun di perlawanan akhir
dengan markah 21–19, 21–19.
Lee menyertai Piala Thomas di tanah air sendiri. Beliau
berjaya menumpaskan Kenichi Tago untuk menggondol mata pertama, namun pasukan
Malaysia kalah 2–3 kepada Jepun. Di suku akhir, beliau menewaskan Peter Gade,
sekaligus membantu pasukannya mendapat tempat dalam separuh akhir. Di separuh
akhir melawan China, Lee ditewaskan oleh Lin Dan, sekaligus mengakhiri rekod 18
perlawanan tanpa kalah sejak awal tahun ini.
Pada bulan Jun, Lee mengambil
bahagian dalam Terbuka Singapura tetapi tersungkur di suku akhir. Namun
demikian, Lee bangkit dengan menjuarai Terbuka Indonesia, Terbuka Malaysia
Grand Prix Emas pada bulan Julai, dan Terbuka Makau pada bulan Ogos. Pada akhir
bulan Ogos, Lee mencuba nasib lagi dalam Kejohanan Dunia, tetapi
tewas mengejut di tangan Taufik Hidayat di peringkat suku akhir.Misbun Sidek
mengaku bahawa kekalahannya adalah disebabkan kecederaan belakang yang
dialaminya selepas pusingan ketiga. Pada 26 September, Lee menewaskan musuh
ketatnya, Lin Dan di Terbuka Jepun.
Pada bulan Oktober, Lee membantu
pasukan Malaysia menewaskan India untuk mempertahankan pingat emas dalam acara
pasukan bercampur Sukan Komanwel 2010, kemudian berjaya
mempertahankan pingat emasnya sekali lagi dalam acara perseorangan. Sebulan
kemudian, beliau menggondol pingat perak di Sukan Asia.
Biarpun dapat menumpaskan Juara Dunia Chen Jin
di separuh akhir, Lee sekali lagi merasai kekalahan di tangan musuh ketatnya, Lin Dan,
di pusingan akhir. Pada akhir tahun, Lee menggondol gelaran Terbuka Hong Kong
yang kedua berturut-turut, dan gelaran Super Series
Master Finals ketiga berturut-turut pada Januari 2011.
2011
Pada Januari, Lee memenangi
kejuaraan Terbuka Malaysia ketujuh,
tetapi gagal mempertahankan kejuaraan Terbuka Korea, yang menjadi kejohanan
sejuta dolar terulung dalam sukan badminton, setelah kecundang di tangan Lin
Dan lagi. Pada Mac, Lee mudah melangkah ke peringat akhir Terbuka All
England buat kali ketiga berturut-turut lantas mempertahankan
kejuarannya dengan kemenangan straight set ke atas Lin Dan, lalu mendapat
sanjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Lee Chong Wei
kemudiannya memenangi kejohanan super series India pertama buat dirinya. Dia
juga telah menyertai skuad badminton kebangsaan Malaysia untuk beraksi di
Sudirman cup, tetapi gagal ke separuh akhir apabila tewas tipis 2-3 kepada Korea.
Pada 1 Mei, Lee Chong Wei julung
kali menjuarai Terbuka India, diikuti
oleh kejuaraan Grand Prix Emas Terbuka Malaysia seminggu kemudian. Walaupun Lee
memenangi semua perlawanannya dalam Piala Sudirman, namun
perjuangan Malaysia berakhir di suku akhir setelah ditumpaskan oleh Korea
Selatan 2–3. Pada lewat bulan Jun, beliau menjuarai Terbuka Indonesia,
sekaligus menjadi pemain bukan Indonesia pertama yang membuat hatrik dalam
kejohanan itu.
Harapan Lee untuk menjadi jaguh
Malaysia pertama yang meraih pingat emas di Kejohanan Dunia ranap setelah
ditewaskan oleh Lin Dan di pusingan akhir. Walaupun menguasai permainan, namun
beliau terlepas dua mata penamat di set penentu. Pada bulan September, Lee juga
gagal mempertahankan kejuaraan Terbuka Jepun setelah
ditewaskan oleh bintang baru China, Chen Long. Pada
bulan Oktober, beliau tewas kepada Chen Long sekali lagi dalam cubaan memenangi
kejuaraan Terbuka Denmark yang kedua. Seminggu
kemudian, beliau memenangi Terbuka Perancis. Ini
disusuli dengan tiga kali berturut-turut tersingkirnya di peringkat separuh
akhir di Terbuka Hong Kong, Terbuka China,
dan Kejohanan
Akhir Masters.
2012
Lee memulakan tahun Olimpik dengan
cemerlang di Terbuka Korea,
apabila beliau menebus kekalahannya kepada Lin Dan dengan menumpaskan jaguh
China itu dalam tiga set. Seminggu kemudian, beliau meneruskan aksi cemerlang
dengan menjulang kejuaraan Terbuka Malaysia yang
kelapan dalam kerjayanya, setelah menumpaskan Kenichi Tago dari Jepun di
pusingan akhir dalam 37 minit.
Pada bulan Mac, Lee kecundang dalam Terbuka
Seluruh England dengan terpaksa menarik diri dalam pusingan kedua
setelah dirawat tiga kali, sekaligus meranapkan harapan Lee untuk menjadi
pemain lelaki pertama dalam era terbuka untuk merangkul kejuaraan Terbuka
Seluruh England tiga kali berturut-turut.
Pada bulan April, beliau dikejutkan pula oleh peman Korea Selatan, Shon Wan-ho
di perlawanan akhir Terbuka India, tetapi
berjaya mempertahankan gelaran Grand Prix Emas Terbuka Malaysia buat kali keempat
berturut-turut pada bulan Mei. perlawanan Kumpulan C Piala Thomas melawan
Denmark. Pada bulan Jun, setelah mengungguli selama 199 minggu tanpa henti
sejak 14 Ogos 2008, Lee akhirnya jatuh dari tangga nombor satu dalam kedudukan
pemain perseorangan lelaki terbaik BWF.
Lee kembali beraksi di gelanggang
buat julung kali semenjak kecederaan itu pada Sukan Olimpik
London. Beliau menang tipis ke atas Ville Lång
dari Finland setelah bermain tiga set dalam pusingan pertama, dan menyatakan
tekanan sebagai punca nyaris kalah. Di pusingan kedua, beliau menang muda ke
atas Simon Santoso
dari Indonesia, kemudian menewaskan Kashyap Parupalli dari
India di suku akhir. Di separuh akhir, Lee mengalahkan Chen Long dari China dalam dua set
walaupun dikhuatiri bahawa lawannya itu sukar untuk diatasi, dan bertemu lagi
dengan Lin Dan di pusingan akhir buat kali kedua dalam Sukan Olimpik. Ini juga
pertembungan kedua mereka di Arena Wembley selepas Kejohanan Dunia
2011. Lee mendahului setelah memenangi set pertama, tetapi Lin melanjutkan
perlawanan kepada set ketiga. Walaupun banyak mengungguli sepanjang set ketiga
itu, namun Lin sempat memintas beliau dan menang 21–19, sekaligus memaksa Lee
sekali lagi berpuas hati dengan pingat perak.
No comments:
Post a Comment